Visi

Menjadi Khairu Ummah yang professional dalam Dakwah, Akademik dan Bisnes dengan ikatan ukhuwah imaniyah dalam suasana yang ceria. ^_^

Wednesday, September 29, 2010

My Turning Point

by the name of ALLAH

Alhamdulillah, kegagalan lalu banyak mengajar aku.
Dari kegagalan-kegagalan, kupintal kembali kekuatan.
Alhamdulillah, kini ku berdiri dalam pengharapan padaMu.

Bila ku kenang kembali, kisah dulu..
Di waktu aku baru belajar mengenal tarbiyah,
Di hari Engkau memberiku seribu satu pengertian yang sangat dalam,
Yang jarang sekali ku dengar kisah yang kau tetapkan sama seperti kisah ku,
Terimalah Ya Allah, aku berbuat hanya kerana Mu.


Dulu, ketika saya masih mentah dan tak pernah merasa tanggungjawab memuslehkan orang lain.

Seperti minggu-minggu sebelumnya, saya datang ke halaqah. Datang, duduk mendengar dan pulang. Saya terus hadir dan konsisten mendengar pengisian. Program-program juga, saya tidak ketinggalan. Banyak ayat-ayat dalam terjemahan Al-Quran saya yang berkulit hitam itu saya tandakan. Kuning di ayat ini, hijau di ayat sana, dan banyak lagi. Dalam masa yang sama, saya berusaha mengaplikasikan apa yang saya dapat dari halaqah ke dalam kehidupan seharian saya. Cuma satu yang masih belum, dan sukar untuk saya lakukan ketika itu.

MENYAMPAIKAN! Dengan kata lainnya, membuat taklim atau halaqah sendiri pula.

Perkara ini berlalu tanpa sedikit pun saya risau. Sedangkan, inilah amanah yang Allah berikan pada umat manusia. Malah junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga bersabda, "Sampaikanlah dariku walau satu ayat".

Sampailah peristiwa yang Allah rencanakan itu saya lalui. Hari itu, seperti biasa saya datang membawa terjemahan kulit hitam itu, alat tulis dan buku catatan halaqah. Semuanya saya letakkan di atas katil akhwat. Sementara menunggu halaqah bermula, saya berbual-bual dengan akhwat di dapur, juga bermain bersama anak akhwat yang ada ketika itu.

Bila waktu halaqah mahu bermula, saya mengambil barang-barang yang saya letakkan di katil tadi. Tapi, tiada sesuatu. Saya bertanya pada yang hadir, "Ada tak nampak terjemahan saya kat atas katil ni tadi?". Semua menggeleng. Saya juga pasti, kerana tiada siapa di dalam bilik ini tadi selepas saya meletakkannya di situ. Saya mencari di celah katil, di atas meja, dan malah di bawah katil. Namun, masih tidak menjumpainya. Saya biarkan dahulu. Mungkin ada di dalam kereta.

Namun, ketetapan Allah mendahului. Di dalam kereta juga tiada. Di bilik sendiri juga, tidak saya temui. Saya bingung. Saya yakin, saya membawanya sebelum itu. Saya tambah bingung kerana hanya terjemahan itulah yang saya gunakan sejak dari awal tarbiyah. Saya terasa, nikmat Ilmu yang selama ini Allah berikan, ditarik dalam masa tidak sampai 5 minit. Saya terasa kosong dan hilang arah. Hilang semua ayat-ayat yang saya tandakan sebelum ini.

Inilah Turning Point saya.

Sejak dari peristiwa itu. Saya sedar, Allah sedang 'berbicara'. Berbicara terus pada saya kerana saya melupakan Al-Quran. Al-Quran dan isinya, bukanlah sekadar untuk dibaca dan difahami. Tapi, perlukan pengamalan dan disampaikan.

Alhamdulillah, sejak dari peristiwa ini, barulah saya mengorak langkah MENYAMPAIKAN. Walau sampai hari ini tidak saya temukan terjemahan Quran itu, syukur pada Allah kerana memberi saya pengajaran ini. Tanpa ketetapanMU itu, mungkin saja saya bukan seperti saya kini.

Dan sejak saya mula menyampaikan, membuat taklim, sudah lebih 10 kali saya gagal. Bukan 10 orang, tapi lebih10 taklim. Kegagalan-kegagalan inilah yang memberi seribu satu pengalaman buat saya sampai hari ini. Tanpa kegagalan-kegagalan ini, mana mungkin saya dapat membina seperti hari ini. Syukur hanya padaMu Ya Allah kerana memberiku peluang merasai peristiwa itu dan kegagalan-kegagalan sebelum ini.

Moga Allah sentiasa redha. Jadikanlah aku, hambaMU yang sentiasa ikhlas, berbuat semata-mata keranaMU.

Sunday, September 19, 2010

Ukhti Madiah..

by the name of ALLAH

Sementara berehat sebentar dari mencari Hardness and tensile strength for Aluminum untuk Final Year Project ni, biar saya update sedikit mengenai seorang akhwat yang saya ziarahi 3 hari lepas.

Ukhti Madiah. ^_^
Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya dan rakan satu batch, Asma yang meneman saya pulang dari Pahang ke Perak untuk menziarahi ukhti Madiah walau hanya sebentar. Perjalanan 6 jam bertambah 2 jam. Tapi tak apa.. moga ukhuwah kerana Allah ini terjalin indah.

Mungkin kerana sepanjang Ramadhan tidak berpeluang menziarahinya, tersasau-sasau saya mencari jalan ke rumahnya. Sampailah satu simpang, saya berhenti tiba-tiba kerana confius.. betul ke jalan yang ni. Tiba-tiba sebuah motor dari belakang berhenti di sebelah sisi kanan kereta. Saya pun membuka tingkap untuk bertanya. Eh, rupanya ayah ukhti Madiah. Alhamdulillah. Belum sempat saya berkata apa-apa.. Pak Ndak terus saja bertanya, "Nak ke rumah Normadiah ke? Meh ikut pakcik". Saya mengangguk dan terus tersenyum.

Di rumah ukhti Madiah, Alhamdulillah.. ukhti Madiah sihat-sihat saja. Tidak lagi demam-demam seperti dulu. Berita gembiranya.. Ukhti Madiah akan memulakan kembali khidmatnya sebagai guru pada hari Jumaat. Saya ziarahi beliau, hari Khamis lepas.. Jadi, esoknya barulah beliau akan ke sekolah kembali. Moga semuanya berjalan lancar. Walaupun kerusi roda yang baru masih belum tiba, semangatnya tidak pudar. Beliau sendiri optimis, mampu berjalan kembali. InsyaAllah. Sama-sama kita doakan.

Dan, berita gembira ke-2, yang baru saya tahu.. dan rasanya ramai yang masih belum tahu hal ini. Alhamdulillah, walau kaki kirinya agak mengecil dan bengkok sedikit, dengan rahmat Allah.. kedua-dua kaki kak Madiah sudah dapat rasa kembali kini. Bila disentuh, sudah dapat rasa. Nak test cubit, takut sakit pulak. Walau apa pun, seronok mendengar dan melihat perkara ini. Katanya sudah hampir sebulan kakinya sudah dapat rasa sejak berurut. Moga perkembangan ini terus positive dari hari ke hari.

Moga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa bersama ukhti Madiah.. Sama-sama doakan ya.
Tidak lupa juga kepada semua akhwat wa ikhwah k.. ^_^

Saturday, September 18, 2010

Belajar..

by the name of ALLAH

Detik waktu yang berlalu.. terasa sangat pantas menderu.
Celik sahaja mata, hari semalam.. telah berlalu pergi. Setiap kali cuti, pasti sukar untuk online, apatah lagi update blog. Bila saya online, mesti ada yang bertanya.. "Dah balik UTP ke?". Mungkinlah, saya online.. menandakan saya ada di UTP.

Sebenarnya.. bukanlah tak ada internet di rumah. Bahkan memang di UTP pun, saya gunakan broadband sejak cable rosak sem lepas. Yang online hampir sepanjang masa di rumah menggunakan broadband saya.. adik lelaki saya yang sorang tu. Bahkan, dalam kereta pun dia online. Fuh..

Saya jarang online, sebab sibuk dengan urusan rumah walaupun belum lagi menikah. Pelik juga rasanya. Bila di rumah, rasa makin sibuk. Tapi, tak apalah..

Buat pertama kali, Raya kali ini.. ke hulu ke hilir menjadi driver sepenuh masa. Abang, tidak berpeluang beraya bersama. Dia berada di Bintulu ketika raya dan menunggu kapal bertolak ke Jepun.

Walau apa pun.. Alhamdulillah, raya kali ni Allah mengizinkan saya, ibu, pika dan adik  pulang ke dua-dua kampung, belah ibu dan belah arwah ayah. Perjalanan berjam-jam, terasa lali walau sebenarnya jauh beribu batu. Barulah sedar.. mengapa arwah ayah dahulu memandu selalu mengantuk. Dari Pahang ke Banting, Selangor lebih kurang 4 jam. Banting ke Johor juga, perjalanan memakan masa hampir 5 jam. Dari Johor pula.. perjalanan balik ke Pahang dalam 5 jam. Macam 3 segi. Mengajar saya erti sabar dan paling penting, bertahan memandu berbatu-batu tanpa mengantuk.

Saya juga belajar berdikari dan berfikir secara kritikal.. Haha. Bila kereta terbenam dalam lumpur sewaktu masuk ke jalan kecil rumah nenek di Pontian, kira-kira setengah tayar depan Honda City tu terbenam. (Sorry ye Abang.. tak sengaja) Mujur bumper tak apa-apa. 2 orang lelaki, jiran terdekat di situ membantu. Dibawanya juga 2 papan kecil. Tapi.. usaha masih tidak berjaya. Datang pula bapa saudara saya. Dia pula cuba memandu kereta sambil yang lain menolak kereta. Mungkin dia lihat saya seperti kurang capable memandu kereta tu keluar. Malangnya.. masih belum berjaya. Keempat-empat, termasuk adik lelaki saya yang membantu sudah berputus asa. Bapa saudara saya sudah mula mencari nombor lori untuk menarik kereta keluar. Saya berikhtiar sebentar.. Mengikut pengalaman lepas waktu kereta Nissan (kereta pertama saya bawa ke UTP) masuk dalam longkang kecil di Kelantan.. bukan kekuatan yang boleh menarik kereta keluar, tapi kena bijak dan berharap sepenuhnya pada Allah.

Tiba-tiba saya ternampak seketul batu sederhana besar yang nampak sangat sesuai menjadi calon pelandas mengeluarkan tayar kereta. Terus saya menyuruh adik lelaki saya yang telah berlumuran lumpur pada baju dan seluar rayanya tu mengambil batu tersebut dan menyelit di bahagian kanan tayar depan kereta berlandaskan papan kecil tadi. Satu lagi batu saya jumpa, saya minta dia selit di bahagian depan pula. Saya sendiri masuk kembali ke dalam kereta. Hidupkan enjin, ke depan sedikit, dan terus menukar gear auto ke belakang. Tekan minyak terus.. Tanpa mereka perlu menolak kereta dari luar. Alhamdulillah, usaha berhasil. ^_^


Kali kedua terbenam di Johor, waktu menziarahi rumah Zakiah-akhwat UTP. Lebih cool. Buat pengetahuan, tanah kat Johor, lembut-lembut.. tanah gambut. Kali ini, abangnya yang menunjukkan skill dan kebijakan. Tak perlu saya keluar kereta. Alhamdulillah, success. Terima kasih buat Zakiah and family. Walaupun abangnya tersilap memanggil saya adik, takpelah.. yang penting, dia dah berpenat lelah menguruskan pengeluaran tayar kereta malam itu. Jazakallah.

Selain itu.. saya belajar hidup bersederhana. Bila beraya ke rumah nenek, nenek-nenek saudara dan saudara-saudara serta sahabat handai.. Ada yang hidup mereka sederhana, saya terasa betapa beruntungnya hidup saya selama ini. Jarang merasakan kesusahan dan apa saja yang diperlukan, mudah-mudah saja diperolehi. Moga Allah menanam dan menunjangkan sifat qanaah dan sentiasa bersyukur dalam diri ini. Aminn.

Dan, akhir sekali.. saya belajar sikap firm dan tertib orang-orang Johor-Jawa. Bila bersalam.. mereka akan genggam erat tangan kita, tangan sebelah lagi ke belakang bahu kita, mukanya tunduk dan rapat dengan kita. Salamnya agak lama, lebih dari biasa dan dibisikkan nasihat-nasihat. Skill yang mantap buat para daie. ^_^

Moga kita semua banyak belajar dan sentiasa mempraktikkan apa yang kita dapat dalam kehidupan seharian kita. May Allah always be with us.

Oh ye.. baru ingat, saya tak belajar (study) cuti ni. Buka buku sekali je.. itupun buat assignment. Oklah.. need to prepare for tests and FYP. Moga ini tidak dicontohi ya.

Wassalam..

Sunday, September 12, 2010

Rindu Ramadhan..

by the name of ALLAH

Allahuakbar!

Alhamdulillah, kini Syawal menjelma. Jadi, di kesempatan ini.. saya mengucapkan, Salam Aidilfitri. Mohon maaf zahir dan batin.

-------------------------------------------------------------------------------------

Masih, Allah memberi peluang buat saya bernafas dan meniti hari-hari selepas Ramadhan ini. Terasa masih rindu dengan Ramadhan. Ramadhan yang munculnya jarang, hadirnya sejenak. Mungkin saja diri ini tidak meraihnya sebaik mungkin.

Moga hari seterusnya merupakan hari yang akan kita lalui dengan warna dan hasil tarbiyah Ramadhan. Aminn.