Visi

Menjadi Khairu Ummah yang professional dalam Dakwah, Akademik dan Bisnes dengan ikatan ukhuwah imaniyah dalam suasana yang ceria. ^_^

Tuesday, April 27, 2010

Tidak Ada Alasan Bagimu Meninggalkan Dakwah

by the name of ALLAH


Judul Asli: Laka Risalah
Penulis  : Abdul Aziz Al-Aidan
Penerjemah: Buldan Muhammad Fattah
Penerbit: Zikrul Hakim

Buku yang dipilih kali ini merupakan sebuah buku yang amat sesuai dibaca dan dijadikan salah satu koleksi bagi setiap orang yang bergelar da’ie mahupun yang baru mengenal erti tarbiyah. Buku yang diterjemahkan dalam bahasa Indonesia ini, mampu menumbuhkan semangat untuk mula berdakwah bagi yang baru mengorak langkah. Malah, bagi yang sudah lama, buku ini mampu menyegarkan kembali semangat untuk terus berdakwah.

Penulis memberi penekanan mengenai kepentingan, kesedaran dan sarana-sarana yang boleh dilakukan dalam berdakwah seperti kepada keluarga dan kerabat, penduduk kampung, warga masjid, rakan sekerja mahupun pelajar, serta kepada masyarakat secara meluas. Selain itu, terdapat juga huraian mengenai alasan-alasan popular bagi yang tidak mahu berdakwah, serta cara penyelesaiannya.

Dalam bab 1, penulis menghuraikan lima sebab dan kelebihan utama mengapa perlu berdakwah. Pertama, kerana besarnya pahala seorang da’ie. Seterusnya; kerana manusia menantikan dakwah kita, dan rahsia yang tidak kita ketahui, dakwah memanjangkan usia. Sebab keempat pula adalah; musuh-musuh Allah sentiasa menyerang kita dan yang terakhir, iaitu sebab yang paling kukuh dan utuh adalah; dakwah merupakan perintah dari ALLAH dan RasulNya.

Antara isi menarik yang ingin dikongsikan di sini ialah, ganjaran hebat berupa pahala besar buat para da’ie. “Turunlah kamu berdakwah kepada seorang manusia saja, hingga dengan perjuanganmu itu, dia dapat menempuh jalan hidayah dan beristiqomah di dalamnya. Yakinlah, sekalipun engkau tidur di saat dia solat malam, engkau makan di saat dia berpuasa, engkau tinggal di rumah saat dia mengerjakan haji, dan engkau tidak turut berjuang di saat dia berjihad di jalan ALLAH, pahalanya tetap akan mengalir untuk kamu, setara dengan pahalanya, tanpa dikurangi sedikit pun. Bagaimana lagi jika engkau berjaya membimbing manusia lebih dari seorang? Bagaimana pula jika engkau berjaya membina manusia lebih dari sepuluh? Sungguh, engkau akan mendapatkan pahala yang berlipat kali ganda”

Dinyatakan dalam Hadith Riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda; Barangsiapa menyeru kepada petunjuk, maka baginya pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi pahala mereka itu sedikit pun.

Jelas, betapa lumayannya ganjaran bagi mereka yang menyeru orang lain ke arah kebaikan, amal ma’ruf nahi mungkar. Dengan izin ALLAH, jika kita ikhlas berbuat kerana ALLAH, pasti ganjaran di sisi ALLAH itu jauh lebih besar dari apa yang dapat kita bayangkan.

Amat rugilah bagi mereka yang ligat memberikan alasan untuk tidak berdakwah. Ramai memberi alasan dengan menyatakan bahawa ilmu masih tidak cukup, masih tidak bersedia dan belum mampu. Ada juga yang merasakan dakwah ini sudah cukup dilaksanakan oleh persatuan-persatuan rasmi. Tidak kurang juga, ada yang memberi alasan bahawa umat Islam sentiasa dalam kebaikan, jadi tidak perlulah untuk kita berdakwah. Malah, yang paling mengecewakan adalah bagi mereka yang sibuk memikirkan masa depan, perut sendiri dan anak isteri sahaja. Alasan-alasan inilah yang selalu menyebabkan seseorang berpaling dari kewajipan berdakwah.

Jadi, untuk membasmi alasan-alasan ini di sekeliling kita, bolehlah sama-sama mendapatkan cadangan penyelesaian dari buku ini. Mari berusaha untuk memiliki, membaca dan mengaplikasikan isi-isi yang terkandung di dalam buku ini. Selamat membaca.

No comments:

Post a Comment

Ada benarnya: