Visi

Menjadi Khairu Ummah yang professional dalam Dakwah, Akademik dan Bisnes dengan ikatan ukhuwah imaniyah dalam suasana yang ceria. ^_^

Wednesday, December 28, 2011

Lapangkan hati demi redha-Nya

by the name of ALLAH


Kisah singkat, tapi penuh makna.. Insya-Allah.


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pernah dianggap kafir dan difatwakan halal darahnya oleh ulama pada zamannya. Beliau kemudian dimasukkan dari satu penjara ke satu penjara yang lain dan diseksa. namun, selepas keluar dari penjara, beberapa kaum dan orang-orang yang ingin membelanya datang untuk meminta maaf pada beliau.

Salah seorang yang menentang beliau adalah Ibnu Makhluf, seorang ulama dari Mazhab Maliki. Pada suatu hari, salah seorang murid Ibnu taimiyah iaitu Ibnu Qayyim mengetahui bahawa Ibnu Makhluf telah wafat. Maka, Ibnu Qayyim menyampaikan khabar itu kepada gurunya, Ibnu Taimiyah.

Ibnu Taimiyah memarahi Ibnu Qayyim kerana menyampaikan berita kematian Ibnu Makhluf dengan rasa gembira. Ibnu Taimiyah lalu segera mengucapkan kalimat "Innalillahi wa inna ilaihi raajiun." Setelah itu, Ibnu taimiyah lalu bertakziah ke rumah Ibnu Makhluf. Ibnu Taimiyah kemudian berkata kepada anak, isteri dan keluarga Ibnu Makhluf, "Sesungguhnya statusku sekarang ini adalah bapa kamu sendiri. Jika kamu memerlukan sesuatu, aku akan berusaha memenuhi keperluan kamu." Semua keperluan keluarga Ibnu Makhluf kemudiannya ditanggung oleh Ibnu Taimiyah sehingga mereka merasa sangat bahagia dan mendoakan Ibnu Taimiyah. 


Hanya orang-orang yang berjiwa besar mampu bersikap seperti Ibnu Taimiyah. Moga kita juga..
berhati besar dan diberi kelapangan hati dalam segala ujian, kelapangan mahupun kesempitan oleh Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Aminn..


[rujukan: Kisah Inspirasi Asmaul Husna]

Friday, November 25, 2011

Be the Bee

by the name of ALLAH

Rasulullah SAW bersabda, "Perumpamaan seorang Mukmin adalah seperti seekor lebah. Jika makan, ia makan sesuatu yang baik. Jika mengeluarkan, is mengeluarkan sesuatu yang baik. Jika hinggap di dahan yang kecil, ia tidak mematahkannya. Ia juga tidak rosak dan merosakkan" 
[HR Baihaqi dari Abdullah Bin Amr RA]


Rujukan: Syarah Hadith, Arbai'n Ruhiyah.

Thursday, November 24, 2011

Chocolate Moist Cake. Yummy!!

by the name of ALLAH

Resepi yang lebih simple dari Red Velvet Cake, dan rasanya pun.. Yummy. Selamat mencuba!

Bahan-bahan:

A. [kek] ayak:
1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan serbuk koko (van houtan boleh)
1 sudu kecil soda bicarbonate
1 sudu kecil baking powder
 


B. [kek] gaul:
1 cawan susu cair
1/2 cawan minyak masak (minyak jagung pun boleh)
1/3 cawan air
secubit garam
1 1/2 cawan gula kastor
 


C. [kek]
2 biji telur yang dipukul sampai kembang dan putih
2 sudu besar coklat Emulco

D. [Topping]:
1/2 cwn serbuk koko
1/2 cwn susu pekat
8 sudu minyak masak


Cara-cara:
1. Gaulkan bahan A dan B dengan senduk hingga sebati barula tambahkan bahan C.


2. Panaskan pengukus sampai air mendidih..
3. Gris loyang dengan mentega, lapik dengan kertas minyak.
4. Masukkan bahan yang siap digaul sebati tadi ke dalam Loyang.


5. Kukus sampai sejam lebih, gunakan api yang sederhana. Tunggu hingga benar2 masak, barulah angkat. (Boleh cucuk dengan lidi dan lihat, jika melekit, masih belum masak.)


6. Untuk topping, gaulkan bahan D. Panaskan sekejap saja di atas air pengukus yang masih panas tadi hingga ada buih ‘pop’. Lebih kurang dalam seminit je. (Jangan lama-lama, nanti terlebih likat dan kurang cantik untuk topping)


Dan InsyaAllah.. inilah hasilnya:

Birthday cake untuk Aiman Syafiq, budak comel yang ibu jaga di rumah.
p/s: Kredit to my sister, Syafiqah yang terus upload gambar dan update blognya selepas berjaya membuat kek Chocolate Moist ni. Link to her blog

Okay.. Selamat mencuba resepi yang simple dan sedap ni. ^_^



Monday, October 24, 2011

Degil bertempat

by the name of ALLAH


3 bulan lepas, saya menerima e-mel dari kawan saya yang berada di Jepun. Selepas berbalas e-mel mengenai walimah dan gambar perkahwinan saya kirimkan, pertanyaan terakhirnya dalam e-mel masih belum saya jawab:


By the way, tak nak kongsikan ke pengalaman berwalimah? Dari prosesnya ke....hehe..
Alhamdulillah, tahniah nak ucapkan kerana rasanya anti macam berjaya untuk elakkan permintaan family yang biasanya nak tengok pengantin bersolek pada hari gemilangnya. Ke family tak kisah? Sebab susah rasanya nk handle benda-benda yang macam tu...


Insya-Allah, sebaiknya saya kongsikan pengalamannya di sini supaya sama-sama mendapat manfaat. Minima, buat ukhti yang berada di Jepun, yang juga bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi atas nama Allah, insya-Allah. ^_^

Keluarga saya, keluarga yang biasa-biasa saja. Jiran-jiran juga, jiran yang biasa-biasa saja. Bukanlah berfikrah, tapi insya-Allah minimanya berakhlak baik dan berislam.

Seperti mak ayah lain, pastilah mahukan sesuatu yang terbaik buat anaknya. Ibu saya juga begitu. Sewaktu walimah saya, semunya siap ditempah oleh ibu. Ditempah sendiri dengan biayanya sendiri. Sedikit pun duit saya tidak keluarkan. Saya hanya pulang ke rumah 2 hari sebelum walimah saya kerana masih ada kelas di UTP.

Malam sebelum walimah, barang-barang yang ditempah sampai dan siap dipasang. Pada awalnya, gerun juga saya lihat. Ada pelamin dan sebagainya. Bila saya bertanya, terus ibu katakan; "Pelamin tu untuk ambil gambar saja. Tak ada tepung tawar dan sebagainya". Sedikit lega saya mendengarnya kerana memang dari awal sudah saya nyatakan pada ibu tidak mahu bersanding.

Keesokan harinya, seorang kakak datang membawa baju dan alatan solek. Agak terkedu saya. Baju yang dibawanya agak ketat, alatan solek yang dibawanya pula lengkap semua aksesori. Ketika itu, 1 ayat terus terngiang-ngiang dalam benak pemikiran saya.

 "La tabarrajna tabarrujal jaahiliyyah" [Al-Ahzab,33:33]
Janganlah kamu berhias dan bertingkah-laku seperti orang-orang jahiliyyah. 

Memang terus-terusan ayat itu hadir dalam pemikiran saya. Ke sana sini saya berjalan membantu mebuat kerja, tetap saja ayat itu berada dalam benak pemikiran. Risau, adakah saya akan mengikut apa yang diperbuat oleh orang-orang yang jahil, seterusnya melanggar apa yang dilarang Allah? Ya.. bukan ustaz, ustazah, alim ulama yang melarang untuk bersolek dan berhias di khalayak ramai. Tapi, ini adalah larangan nyata dari Allah melalui Al-Quran yang suci.

Kakak andam tersebut memanggil untuk mencuba baju. Terus terdetik dalam hati, "Alasan apa aku nak bagi ni, nak elak pakai baju ketat ni??". Alhamdulillah, sewaktu melihat dengan teliti depan belakang baju tersebut, saya terjumpa sedikit koyak. "Yes! satu alasan yang sangat logik." Alhamdulillah, baju ketat tersebut dapat saya elakkan. Jadi, kakak tersebut terpaksa memberi saya baju yang lain. Alhamdulillah, kali ini besar sedikit bajunya. Longgar saja saya pakai. Cuma, agak kasihan kepada zauj (suami) saya kerana bajunya juga sedikit besar. Tapi, tak mengapalahkan, suami.. asal isteri tak pakai baju yang ketat. ^_^


SKETSA SI DEGIL dengan KAKAK ANDAM

Tiba pula saat disolekkan. Macam-macam saya kata; "Tak nak. Nanti, kulit saya menggelupas. Alergic. Tak tahan dengan alat kimia. Bedak pun saya memang tak boleh pakai kak."

Kakak tersebut membidas balik. "InsyaAllah, selama akak make upkan orang, takda lagi yang jadi macam tu. Alat make-up akak ni bagus. Takda kesan radang pada kulit. lagipun, mak adik dah bayar akak dah."

Sambil teringat lagi ayat 33:33 tadi, nak tak nak, saya pesan awal-awal pada kakak tersebut, solekkan saya nipis-nipis kalau nak solekkan. "Ok". 

Beberapa ketika kakak tersebut mula menyolekkan, saya dapat message dari suami saya, "Nak make up tu.. berpada-pada ya." Terus saya kata pada kakak tu.. "Kak, suami saya pesan ni tau, jangan make-up sangat". "OK"

Baru beberapa minit selepas itu, saya terasa seperti foundation yang dipakaikan tebal. Saya bertegas mahu melihat di cermin. Kakak tu pula bertegas, "Tengok cermin bila dah habis make-up nanti la". Saya tetap degil. Tetap mahu lihat ke cermin. Kakak tersebut terpakasa berhenti sebentar.

Astaghfirullahala'zim. Terus terpacul dari mulut saya, "Kak, tebalnya ni. Tak nak macam ni"
"Tu baru foundation dik."

Dalam hati saya,"Foundation pun dah tebal macam ni.. make-up nanti tebal mana pulak? Aku tak nak jadi macam orang jahiliyah!

Saya tak tahan.. "Kak, tak boleh ni.. suami saya tak bagi ni." 

"Dik, nanti orang berkata tentang tukang make-up ni dik.. Akak tak buat kerja betul-betul".

"Tak nak la kak macam ni.. takpelah kak. Takpe. Saya cakap je saya memang tak make-up"

Dengan muka kecil hati, akak tersebut berkata; "Sukati adik la, pegi lah basuh muka."

Walaubagaimanapun, saya kemudiannya meminta maaf dari kakak tersebut kerana terpaksa mengecilkan hatinya untuk menjaga apa yang Allah tetapkan. Insya-Allah, moga kakak tersebut dipermudahkan urusan oleh Allah. 

Kemudiannya, tetap.. apabila saya keluar bilik, jiran-jiran, mak saya tetap menyoalkan, "Aik, tak make up ke?" Jawapan yang paling simple boleh dijawab; "^_^" Senyum je..

Biarpun di belakang mereka nak kata apa-apa, biarkan saja. Insya-Allah, takkan murkanya Allah sekiranya kita menjaga Allah.

"Ihfazillaha, Yahfazka, Ihfazillaha, Tajidhu tujahaka " [HR Tirmidzi, hasan sahih]
Jagalah Allah, Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, Allah akan bersamamu. 

Sekali lagi, "Maaf ye kak"


:--> Kadang-kadang kita terpaksa mengetepikan sesuatu untuk menjaga sesuatu yang lebih utama. Kalau kita mahu, sungguh-sungguhlah.

Saturday, September 17, 2011

Red Velvet Cake

by the name of ALLAH

Alhamdulillah, sudah berakhir final exam kelmarin. ^_^
Hari ini, saya dan 2 orang lagi akhwat bersama-sama pergi ke kelas yang agak special, lain dari dunia engineering. Buat pertama kali saya berada di dalam kelas yang menggunakan mixer, dan alatan-alatan membuat kek. Selama ni, selalu bergelumang dengan kelas yang di dalamnya hanya buku, pen, kertas, slide etc. Dan, sememangnya saya sudah lama tidak membuat kek. Dulu je.. waktu masih bujang. Ohh..

So.. di sini saya kongsikan salah satu resepi kek yang kami buat. Ya.. kek Red Velvet yang jarang nak jumpa di kedai.

Red Velvet yang sedapp

Note: Sila abaikan decoration di atas cake yang serabut kerana kami budak baru belajar. Bukan icing ye merah hijau tu.. tu, cream cheese sebab tu macam cair-cair saja.. Yang pentingnya, sedapp.


Resepi Red Velvet Cake.

Bahan-bahan:

Kek:
2 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam halus
2 sudu besar serbuk koko (van houtan boleh, yang penting tak boikot)
1/2 cawan butter
1 1/2 cawan gula prai
2 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
1 cawan susu segar (make sure yang tak boikot ye)
1 sudu kecil cuka
1 sudu kecil baking powder
2 sudu besar pewarna merah

Topping Cream Cheese:
250 gram cream cheese
120 gram butter
120 gram gula icing
1 sudu kecil lemon jus (if tak ada, boleh ganti dengan 1 sudu kecil esen vanila)


Cara-cara:

Kek:
1. Ayak serbuk koko, garam halus, tepung gandum. Ke tepikan.
2. Pukul butter hingga lembut (sampai macam warna-warna krim). Masukkan gula ke dalam butter tadi sehingga adunan ringan. Masukkan pula telur satu per satu dan esen vanila. Pukul kesemuanya hingga sebati.
3. Ke dalam adunan tadi, masukkan susu secara berselang-seli dengan bahan yang diayak tadi (bahan step 1) dan pewarna merah. Pukul sebati.
4. Campurkan cuka dengan baking powder dalam sebuah cawan sehingga berbuih, kemudian masukkan ke dalam adunan tadi. Kacau sebati.
5. Sediakan loyang (7-8 inch diameter). Ingat, grease dulu loyang dengan merjerin dan alaskan dengan kertas minyak. Kemudian, boleh masukkan adunan yang siap tadi.
6. bakar dalam suhu 170 degree C selama 60 minit. Bergantung kepada oven masing-masing.

Topping:
1. Pukul cream cheese dengan butter hingga lembut dan gebu.
2. Masukkan jus lemon atau esen vanila. Kacau sebati.
3. Asing kepada 3 bahagian kemudian letakkan pewarna pada 2 bahagian (ikut suka: 1-untuk layer kek, 2-decoration warna merah, 3-decoration warna hijau)
3. Bila kek sejuk, potong kek kepada 3 layer.
4. Susun kek secara berselang-seli dengan cream cheese.
5. Hiaskan kek dengan topping cream cheese yang telah diletakkan pewarna tadi.


Ha, dah Siap! Boleh makan dah.. If nak lebih sedap, letakkan dalam peti sejuk dulu.. ^_^

Selamat mencuba! Lebih-lebih lagi buat akhwat-akhwat yang sedang bercuti tu ye. Ni salah satu dakwah family tau. (Ikhwah pun, amat digalakkan untuk mencuba). Gender will not differentiate you to make something special for your family.

All the best!

Monday, September 12, 2011

Respon anda membantu kami.. ^_^

by the name of ALLAH

Synergy Media (Penerbitan, Percetakan, Produksi & Pengedaran)


Salam.

Jemput-jemput jawab survey untuk tingkatkan kualiti majalah SINERGI.


Link: Survey SINERGI


Semoga dengan jasa baik anda ini, majalah SINERGI dapat menyebarkan dakwah kepada semua dengan lebih berkesan dan meningkatkan mutu majalah.
 
Jasa baik anda semua saya ucapkan jutaan terima kasih.

Note: Bagi yang belum memiliki majalah ni, sila-sila cepat-cepat dapatkannya:

No. hp: 019-4544871  

http://synergymedia.com.my

synergymedia2010@gmail.com


Tuesday, September 6, 2011

Yang dinanti sudah hadir lagi..

by the name of ALLAH

Setiap tahun pasti kem ni dinanti-nantikan..

Jemput join Kem Remaja ni..
Boleh promote pada adik, anak buah, jiran, sepupu, dan siapa saja.
Rugi kalau tak join. ^_^

Monday, August 8, 2011

Jalan Juang

by the name of ALLAH

Lagu yang liriknya wajar menjadi motivasi buat para daie terutamanya.

Jalan Juang

Sabarlah wahai saudaraku
Tuk menggapai cita
Jalan yang kau tempuh sangat panjang
Tak sekedar bongkah batu karang

Yakinlah wahai saudaraku
Kemenangan kan menjelang
Walau tak kita hadapi masanya
Tetaplah al-Haq pasti menang

Tanam di hati benih iman sejati
Berpadu dengan jiwa Rabbani
Tempa jasadmu jadi pahlawan sejati
Tuk tegakkan kalimat Ilahi

Pancang tekadmu jangan mudah mengeluh
Pastikan azzam-mu smakin meninggi
Kejayaan Islam bukanlah sekedar mimpi
Namun janji Allah yang Haq dan pasti..!

Album : Pewaris Negeri
Munsyid : Izzatul Islam
By: Noorahmat

Tuesday, July 26, 2011

Buat mereka yang bergelar suami & isteri

by the name of ALLAH


Kadangkala suamiku..
Diri ini menangis asbabmu..
Walau tanpa dirimu tahu..

Kerana,
Kecilnya jiwaku,
Lembutnya fitrahku,
Lemahnya diriku,
Halusnya perasaanku..

Suamiku,
Kuharap Dirimu mengerti sayangku..

Kadangkala..
Aku menangis bila ditegah atas kedegilanku,
Aku menangis bila ditegur atas silapku,
Aku menangis atas bezanya diriku denganmu,
Aku menangis kerana..
Aku mahu berubah dan terus dibimbing olehmu.

Sayangku yang kuhormati..
Aku menangis bukan bermakna tidak mahu berubah,
Atau tak mampu menerima teguranmu,
Tetap jua akanku usaha perbaiki dan berubah atas teguranmu,
Kerana.. Kutahu aku tetap jauh dibanding bidadari yang menunggumu,
Jadi, takkan diri ini membiarkan bezanya terus-menerus menjauh..

Kadangkala pendampingku..
Aku juga menangis bila jarak memisahkan kita,
Aku juga menangis bila rasa rindu menjeratku,

Rindu dengan senyummu yang manis selalu,
Rindu dengan lembutnya kata-katamu,
Rindu menatap wajah redup penenangku,
Rindu dengan suaramu menjadi imamku,
Rindu dengan lunaknya alunan tilawahmu,
Rindu dengan taujih dan nasihat darimu.
Rindu dengan sinergi ruh keimanan bersamamu..

Kuharap selalu,
Rinduku ini, sentiasa bersemi indah kerana Allah..
Cinta dan kasih yang disemai kerana Allah ini tetap teguh selamanya..

Maafkan diriku suamiku.. Andai diri ini,
Selalu menyusahkan dirimu,
Sering menaikkan kemarahanmu,
Dan kerap terlalai menjadi isterimu yang solehah dan taat.

Maafkanku diriku suamiku..

 Wahai isteriku,
Engkau adalah permata yang aku amat sayangi,
Selepas cintaku kepada Allah, Rasul, Dakwah dan Jihad,
Engkau adalah nyawaku dan jasadku,
Tidak dapat ku bayangkan hidup tanpamu,

Duhai isteriku,
Seandainya aku khilaf,
Maka betulkan aku,
Seandainya aku terkasar,
Maka fahamilah aku,
Seandainya aku gusar,
Tenangkanlah aku,
Kerana khilafku hanya untuk membahagiakan dirimu,
Kerana kasarku hanya untuk menjaga dirimu,
Kerana gusarku hanya kerna memikirkan dirimu,

Wahai belahan hatiku,
Seandainya bidadari syurga melintas dihadapanku,
Akan ku berdoa bahawa kamulah bidadari itu,
Kerana bidadari yang paling jelita,
Untuk seorang suami di syurga,
Adalah isterinya yang solehah,

Zaujati,
Aku kan sentiasa bermohon,
Agar Sang Pemilik Cinta kan sentiasa,
Menaungi kita dengan cinta-Nya,
Agar Sang Pemilik Sabar kan sentiasa,
Menebalkan hati kita dengan sabar-Nya,
Agar sang Pemilik Kelembutan kan sentiasa,
Membajai kita dengan kelembutan-Nya,

Akhirnya wahai bidadariku,
Maafkan aku atas segala salah silap ku,
Betulkan aku atas segala tingkah dan langkahku,
Kerana hanya kau satu yang merajai hatiku,
Kerana tiada lain yang kusayangi melainkan kamu,
Kerana aku hanya inginkan kamu bersama-samaku,
Nanti di syurga yang abadi,
Kita kan tertawa mengingat kisah-kisah kita di dunia ini.

Monday, July 18, 2011

Cambahan pahala

by the name of ALLAH

Terharu..

Beberapa minggu yang lalu, saya mengikut seorang akhwat ke ta'limnya. Walau hanya sedikit yang hadir, akhwat tersebut tetap terus mengisi dengan penuh semangat dan yakin. Alhamdulillah. Bijak susunan ayat dan kata-kata yang dilontarkan dalam memberi kefahaman kepada mad'u tentang Islam.

Salah seorang mad'u yang datang, kebetulannya baru saja diajak semasa akhwat tersebut singgah sebentar dalam perjalanan ke tempat ta'lim yang telah dijanjikan. Alhamdulillah, Allah membukakan pintu hati mad'u tersebut untuk hadir.

Dalam ta'lim, saya lihat mad'u yang di'nasihati' rakan sebilik tadi, agak merangkak membaca Al-Quran. Walaupun begitu.. usahanya terus membaca selepas ditaujih memberi kesan di hati. Alhamdulillah. Moga semangatnya untuk terus mempelajari Al-Quran terus bersemi indah.

Hari ini, saya lihat.. mad'u yang hadir secara kebetulan tadi,yang merangkak bacaan Al-Qurannya ketika itu, masih istiqomah dalam tarbiyah. Alhamdulillah. Semangatnya untuk terus berubah membuatkan saya terharu. Mungkin kerana keikhlasannya meninggalkan karat-karat jahiliyah, keikhlasannya memperbaiki diri menjadi hamba yang dicintaiNya memberi kesan pada jiwa yang melihatnya.

InsyaAllah, pahala pada akhwat yang mengetuk biliknya tidak akan berkurang. Pasti akan terus bertambah dan bercambah.

Biarpun hari ini.. akhwat tersebut kecewa kerana mad'u-mad'u yang lain lari. Tapi, ingatlah ukhti.. yang seorang ini, doakanlah dia terus-terusan kerana setiap perubahannya mengalirkan pahala buat dirimu ukhti. Biarpun seribu yang diajak ke jalan Allah, berjuta yang lari, mungkin saja kualiti yang seorang ini mampu menyamai kuantiti mereka yang tidak mahu itu.

Biarpun lambat seseorang itu belajar, biarpun bertatih seseorang itu berubah, namun keikhlasannya yang murni mampu menjadikan dirinya jauh ke depan di sisi Allah berbanding diri kita ini.

Jadi, dengan langkahan istiqomah dan kuatnya iltizam kita.. teruslah memurnikan niat dan jernihkan keikhlasan kita kepada Allah agar diri kita sama-sama dapat menggapai tempat yang terbaik di sisi Allah. InsyaAllah.



Wallahua'lam.

Saturday, July 9, 2011

Kita sudah berada di zaman ini..

by the name of ALLAH

Bahang BERSIH, Patriot, NGO dan sebagainya agak terasa di Malaysiakini.

Tak nak komen apa pun. Masing-masing punya pendapat dan pandangan sendiri. Hanya mahu berkongsi satu hadith riwayat Ath-Tabrani:

Diriwayatkan oleh Imam Ath-Tabrani di dalam kitab Mu'jam Al-Kabir yang bersumber dari Abi Hurairah RA. di mana ia berkata; Rasulullah SAW bersabda:

"Kelak pada akhir zaman akan ada pemimpin-pemimpin yang aniaya, menteri-menteri yang fasik, hakim-hakim yang curang dan ulama-ulama pendusta. Barangsiapa di antara kamu nanti sempat menemui zaman ini, maka hendaklah ia tidak menjadi pegawai pajak, kaki tangan kerajaan dan anggota polis untuk membantu keburukan yang telah mereka lakukan" [HR. Thabrani]

Wallahua'lam.

Sunday, June 19, 2011

Dulu dan kini..

by the name of ALLAH

Dulu..
Diri ini belajar erti tarbiyah,
Diri ini merangkak mencari sinar perbaikan,
Diri ini berperang melawan sikap jahiliyah,
Diri ini dibimbing supaya mampu membimbing yang lain..

Dulu..
Aku ke sana ke mari mencari yang mahu,
Aku ke hulu ke hilir mencari rentak,
Aku diperbetulkan di sana di sini,
Aku terumbang-ambing meredah segala,
Yang mahu dan tak mahu bercelaru..

Kini..
Diri ini yang perlu mengubah,
Diri ini yang perlu menyelesaikan,
Yang terumbang-ambing perlu dibetulkan,
Yang tersasar perlu diluruskan,
Yang mencari rentak perlu ditunjukkan,
Yang jatuh perlu dibangunkan,
Yang tertarik mesti terus didakap erat,
Yang mahu perlu terus dibimbing laju..

Ya..
Dulu.. mungkin aku dan dia..
Kini.. mungkin aku dan kamu..

Maka, melangkahlah..
Jangan pernah berhenti..

Kerana Rabb kita sama..
Tujuan kita SATU.. ALLAH.

Sunday, June 5, 2011

Dirimu Aku Sayangi ^_^

by the name of ALLAH

Dari suamiku yang aku hormati..

--------------------------------------------------------------------

1 June 2011

Buat Yang Paling Aku Sayangi.....

Buat diri yang aku sayangi,
Buat diri yang menjadi pakaianku,
Buat diri yang menjadi ibu kepada anak-anakku,
Buat diri yang rela bersengkang mata untukku,
Buat diri yang menjadi pengingat pada ku tika aku lupa,
Buat diri yang tidak jemu mendoakan kebaikan dan kejayaanku,
Buat diri yang selalu mengejutkanku untuk bangun bertahajud,
Buat diri yang menguatkanku tika aku lemah
Buat isteri yang aku cintai kerana Allah, Rasul dan Jihad...

"SELAMAT HARI LAHIR"

Semoga dengan bertambahnya umurmu, akan bertambah jua kesungguhanmu untuk menggapai syurga Allah, akan bertambah lagi keikhlasanmu untuk memberikan khidmat kepada Allah, Rasul, Dakwah, Jihad dan suamimu, akan bertambah lagi kesabaranmu dalam menempuh kehidupan yang punya seribu satu ragam dan mehnah,akan bertambah lagi kasihmu pada binaan halaqahmu, mad'u dakwahmu dan ikhwah akhowat seperjuangan, akan bertambah peka hatimu pada keprihatinan umat ini, dan yang paling penting makin kukuh dan tsabat dirimu dalam JALAN DAKWAH ILALLAH INI.....

Daripada suamimu.....
AAM: ahmadazaharmohd.blogspot.com

--------------------------------------------------------------------------


Suamiku tercinta..
Terima kasih wa jazakumullah atas ucapanmu yang penuh makna.
Hadiah tersirat, paling sarat nilai yang pernah isterimu ini terima.
Moga kita sentiasa terus mencintai dan dicintai Allah SWT.

Wednesday, May 18, 2011

Detik ini..

by the name of ALLAH


Semuanya bagai mimpi yang singkat..

Yang berlaku semalam bagai hembusan angin,
Sesekali bertiup kemudian hilang entah ke mana.
Beginilah rasanya, betapa pantas dan ligatnya waktu berlalu.

Thursday, May 5, 2011

SINERGI 5 Semanis Racun Berbisa

by the name of ALLAH

Assalamu'alaikum WBT,


Alhamdulillah, dengan limpah rahmat dan kasih sayang Allah, kini SINERGI kembali buat kali ke-5 dengan tema Semanis Racun Berbisa.

Tema kali ini diketengahkan kerana terlalu banyak manusia kini yang membiarkan diri diracun oleh fikiran-fikiran barat yang tidak hanya merosakkan akhlak, menghancurkan fikrah Islam dari dalam diri, melarutkan keperibadian kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, malah menjadi penyebab terbesar murtad.

Menyedari bahawa sumber kekuatan umat Islam adalah pada aqidah dan agama, maka orang-orang kafir menggunakan cara halus ini untuk mengalahkan kita.

Daripada Anas RA  bekata, Rasulullah SAW bersabda, "Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. [HR Tirmizi]

Jika ada rumah yang tiada televisyen, sebuah kotak beracun yang menyebabkan berjam-jam masa kita dihabiskan sia-sia, pasti menjadi tanda tanya. Jika ada umat Islam yang menutup aurat, bertudung labuh, tidak mengenakan pakaian ketat dan tudung yang jarang, pasti dikatakan kuno. Bila ada yang membaca Al-Quran sambil menunggu bas atau sewaktu menunggu waktu kuliah, pasti ia dilihat asing. Betapa rosaknya pemikiran kita sebagai umat Islam yang sepatutnya sentiasa menerapkan nilai-nilai Islam dalam rangka mengharap redha Allah.

Perang pemikiran ini diumpamakan semanis racun berbisa kerana, walau ianya berbisa dan membunuh jiwa kita, ia tetap saja kita ambil dan diminum bagai manisnya madu. Kita tahu, filem-filem barat merosakkan, fesyen dan budaya kafir menghancurkan, tetapi tetap dijadikan kebanggaan. Perang pemikiran ini dilancarkan oleh orang-orang kafir supaya kita, umat Islam seluruhnya taat dan tunduk pada telunjuk mereka, tidak lagi bersandar pada Al-Quran dan Hadith.

Jadi, bangkitlah! Jangan terus jadikan diri kita termasuk dalam golongan yang jahil dan tertipu. Membiarkan saja, orang-orang kafir, terutamanya pengaruh barat terhadam dan meresap dalam jiwa dan pemikiran kita adalah satu kesilapan besar. Selamatkanlah kembali pemikiran kita kerana secara halusnya mereka turut menguasai politik, pendidikan, ketenteraan, sosial, undang-undang dan ekonomi kita bilamana mereka berjaya menguasai pemikiran kita.

Bersihkan kembali pemikiran kita! Buangkan racun berbisa!




Pastikan anda salah seorang yang menyedari penyebaran racun tersebut. Ayuh bersama kita membantu melahirkan generasi rabbani profesional melalui ilmu, kefahaman dan kesedaran yang bakal kita sebar luaskan melalui wasilah pena..

Make sure beli.. RM3 je!!

Pendaftaran menjadi pengedar sah Majalah SINERGI masih terus dibuka..Begitu juga kemudahan belian individu yang akan terus sampai ke tangan anda, serta belian langganan yang kami sediakan, mahupun program wakaf Majalah yang ingin anda berikan. Dapatkan semua info di website rasmi kami di http://synergymedia.com.my/

Wednesday, April 20, 2011

We will survive

by the name of ALLAH

Kenapa kita biasanya menghadapi waktu-waktu sukar sebelum mengecapi kejayaan?
Kenapa kita perlu menghadapi kata-kata berbisa sewaktu belum mengecapi kemenangan?

Kerana.. semua itu lumrah kehidupan. Sunnatullah yang telah ditetapkan Allah.

PIPELINES

Saya kongsikan sedikit apa yang saya dapat dalam pengajian saya kini. Pipeline, sewaktu awal-awal siap dipasang, kebarangkalian untuk pipeline itu fail adalah sangat tinggi. Kenapa? Kerana, mungkin saja alignment yang kurang baik, sambungan yang kurang mantap, kapasitinya tidak dapat menampung fluid yang mengalir di dalamnya, material yang tidak sesuai, dan pelbagai lagi asbab lain.

Namun, kebarangkalian untuk pipeline ini fail semakin berkurang apabila tahun meningkat. Apabila melepasi jangka waktu 'genting' sama ada fail atau success, barulah sebuah pipeline itu akan stabil sepenuhnya. Fluid dapat mengalir baik, material yang digunakan terjamin sesuai. Namun, maintenance perlu sentiasa dilakukan sepanjang pipeline tersebut digunakan. Jangka hidup sesebuah pipeline itu boleh ditingkatkan jika penjagaan rapi ini dilakukan. Sekiranya tidak, karat, blocking atau sebagainya akan lebih cepat berlaku dan jangka hayatnya sampai.

DAI'E (pendakwah)

Begitu pipeline, begitu jugalah kehidupan seorang dai'e. Di waktu awal mula mengajak orang lain kepada kebaikan, mula berkongsi Al-Quran dan Sunnah pada kawan-kawan mahupun junior atau yang lebih tua, mula membina dan belajar menganalisa.. kebarangkalian untuk gagal adalah sangat tinggi. Mungkin saja 3 orang yang diajak ke ta'lim, 10 orang pula yang lari (sebab yang diajak tu lari, ajak kawan-kawan sekeliling pun ikut lari sama).

Namun, perkara ini sebenarnya lumrah. Sunnatullah dalam berdakwah. Maka, biarkan saja apa orang kata. Kerana sebenarnya, kita bukanlah gagal membina atau sebagainya. Tapi, sebenarnya.. kita masih belum berjaya. Jadi, teruslah. Jangan pernah berhenti sampai mati.

Teruskan usaha murni kita menyampaikan risalah Allah. Jangan pernah jemu atau putus asa jika melalui detik-detik sukar. Bila mad'u menolak, terus saja mengajak yang lain pula. InsyaAllah, setelah beberapa ketika nanti, walau mungkin saja sampai berbulan atau bertahun, kita pasti akan dapat mencapai tahap stabil itu. Belajar dari pengalaman dan kesilapan diri, juga dari pengalaman ikhwah dan akhwat lain. InsyaAllah, kita akan success. Rentak dakwah pasti dapat kita ikuti, membina pula menjadi sesuatu yang pasti. Teruskan berlari.

Namun, seperti pipeline, perlukan maintenance supaya lifenya terjamin dan boleh dipanjangkan tempohnya. Buat para dai'e, pastikan bekalan dan maintenance iman kita mencukupi. Jaga mutabaah, tingkatkan tsaqofah dengan memperbanyakkan bahan bacaan, mendengar pengisian dalam ceramah, radio atau sebagainya. InsyaAllah, kita akan terus success sehinggalah kita bertemu Allah nanti. Yes, we will survive.

Buat murobbi dan murobbiyah yang sedang membina pula, ingatlah.. Kita juga dulu pernah melalui detik-detik kebarangkalian kegagalan ini. Maka, bukan marah dan kata-kata berbisa yang diperlukan oleh mutarobbi kita. Tapi, apa yang mereka perlukan adalah tunjuk ajar, bimbingan, pengalaman dan sokongan kita. Mungkin saja ada yang lambat belajar dan pelbagai kerenah lain muncul. Jadi, para murobbi dan murobbiyah.. kini waktunya pula kita belajar erti sabar dalam membimbing dan membina. Tapi, jangan lupa rahsia dalam membimbing. Apa? Pengarahan yang jelas, penegasan dalam pengarahan, penugasan yang baik, pelatihan yang mantap, pendisiplinan dan pengawalan yang seimbang. InsyaAllah, we will survive too.

Walaupun sekadar pipeline, ambillah ia sebagai sesuatu yang berharga dalam pelajaran kehidupan. Setiap yang kita pelajari, walaupun dalam kuliah kita sebagai pelajar engineering, arkitek, ict, bisnes medic atau sebagainya.. pastikan kita ambil lebih dari teorinya.

Kerana apa? Kerana kita seorang daie yang sentiasa berada dalam kehidupan tarbiyah sebenar dari Allah.

Wallahua'lam.

Wednesday, March 30, 2011

Akhlaqul Mu'min

by the name of ALLAH

Ihsan . Tawadhuk . Jujur . Amanah . Tepati Janji . Malu . Kasih Sayang

Adakah dalam diri kita mantap dengan akhlak-akhlak sebegini? Cuba kita renungi dan selidiki seketika. Sudah benarkah kita bersifat ihsan? Jujurkah kita dalam setiap perkara yang kita lakukan?

Tajuk asal: 
Akhlaqul Mu’min 
Tajuk terjemahan:
Semulia Akhlak Nabi
Penulis:
Amru Khalid
Terbitan:
Pustaka Aqwam


Buku tulisan Amru Khalid ini sangat sesuai menjadi benih, malah pemangkin buat menyemai tunas-tunas akhlak mulia dalam diri kita. Biar saya kongsikan salah satu sirah unik yang terdapat dalam buku ini
mengenai jujur.


 Selepas Perang Khaibar tamat, Rasulullah SAW membahagi-bahagikan harta rampasan perang kepada semua perwira-perwira perang. Kemudian, datanglah seorang lelaki dan bertanya,

“Apakah ini wahai Rasulullah?”

“Ini bahagianmu dari rampasan perang.”

“Wahai Rasulullah, demi Allah, bukan kerana harta ini aku mengikutimu, akan tetapi aku mengikutimu agar anak panah peperangan mengenaiku di sini (sambil menunjuk pada urat lehernya) sehingga aku syahid dan masuk syurga”.

Maka, Rasulullah SAW melihat ke arahnya dan bersabda, “Jika engkau bersikap jujur, maka Allah akan berlaku jujur kepadamu”.

Kemudian, dalam satu peperangan, lelaki ini syahid. Rasulullah membalikkan jasad lelaki tersebut. tetapi yang mengejutkan adalah, ada anak panah yang menancap tepat di bahagian yang pernah lelaki ini tunjukkan.
Baginda terkejut dan bersabda, “Allahuakbar! Dia berlaku jujur kepada Allah, maka Allah bersikap jujur
kepadanya”

******************************

Subhanallah, beginilah benarnya kejujuran yang dibuktikan kerana Allah. Memang benar, perjuangannya hanya mengharap syahid dan syurga. Bukan kerana harta atau asbab yang lain. Buat diri kita? Adakah benar selama ini tersemat akhlak jujur ini dalam kehidupan kita? Benar-benarkah mengharapkan keredhaan dan kecintaan dari Allah?

Sama-sama kita introspeksi diri dan perbaikinya. Jika selama ini hanya dituturkan di mulut, maka kini mari kita resapkan sepenuhnya ke dalam hati kita. Moga usaha kita menerapkan akhlak mulia ini mendapat tempat di sisi Allah. Marilah, kita sama-sama terus berusaha mencorakkan diri dengan akhlak seorang mukmin.

“Tiada suatu amalam seorang hamba yang paling berat timbangannya pada hari kiamat melebihi akhlak yang baik” [HR Abu Dawud]